Mencanting batik
Apa itu mencanting?
Mencanting ialah kerja melukis corak pada kain dengan lilin cair melalui alat kecil bernama canting. Bayangkan menulis dengan pen, tetapi “dakwatnya” ialah lilin cair. Tugas lilin bukan memberi warna, sebaliknya menyimpan ruang daripada warna.

Fungsi canting dalam penghasilan batik
Canting terdiri daripada tiga bahagian:
- Periuk : lazimnya tembaga, yang menyimpan lilin cair.
- Mata/Muncung: saluran halus tempat lilin keluar. Saiz muncung menentukan ketebalan garisan.
- Gagang: pemegang daripada buluh atau kayu supaya tangan tidak melecur.
Lilin Batik
Lilin Batik (juga dikenali sebagai “malam“) akan dipanaskan sehingga mencair dan akan dicedok menggunakan canting untuk diisi ke dalam periuk canting.
Dalam penghasilan batik, canting digunakan untuk melukis garisan luar motif, memenuhkan ruang kecil seperti titik atau isian, dan menutup kawasan yang tidak mahu diwarnakan.
Hasil canting bergantung kepada kestabilan tangan dan suhu lilin. Jika lilin terlalu sejuk, ia pekat dan tersekat. Jika terlalu panas, ia meleleh melepasi garisan.