Seni Wau Sobek & Teknik Menampal Corak Sobek bersama Lambo Sari

Kursus ini membawa anda mengenali keunikan Seni Wau Sobek, iaitu seni kraf tradisional Melayu yang menggabungkan kemahiran tangan, ketelitian dan kreativiti dalam menghasilkan corak hiasan wau. Melalui kursus ini, anda akan mempelajari asas seni wau sobek, mengenali pelbagai jenis wau serta memahami motif dan corak yang digunakan dalam seni hiasannya.
Anda juga berpeluang mempelajari proses penghasilan wau secara lebih dekat bersama artisan Lambo Sari, Encik Hamidi bin Muhammad. Kandungan kursus merangkumi pengenalan peralatan dan bahan, proses meraut buluh, teknik menghasilkan corak sobek serta langkah-langkah menampal corak batik pada badan wau. Melalui video pembelajaran dan aktiviti interaktif, anda dapat mengikuti setiap peringkat penghasilan wau, daripada penyediaan bahan sehingga menghasilkan karya yang lengkap.
Kursus ini sesuai untuk pelajar, peminat seni kraf dan sesiapa sahaja yang ingin mengenali warisan seni wau tradisional Malaysia. Selain mempelajari teknik penghasilannya, kursus ini turut memberi pendedahan tentang kepentingan memelihara kemahiran kraf warisan agar terus dihargai dan diwarisi oleh generasi akan datang.
Modul ini selaras dengan SDG 4, 8, dan 11.

